Sunday 26 June 2011

Jom Sertai Konvensyen Keluarga Melayu Muslim


Keluarga merupakan unit asas yang membentuk masyarakat dalam sesebuah negara. Seandainya keluarga itu pincang, masyarakat terbentuk juga akan terkena badai kepincangan tersebut. Sebaliknya jika sesebuah keluarga itu sempurna, binaan masyarakat yang akan lahir juga akan lebih teguh seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera. Masalah keruntuhan moral dan gejala sosial seperti mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain terutamanya dikalangan Melayu Muslim begitu ketara sejak kebelakangan ini.
Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda  masalah keruntuhan moral yang serius. Merujuk kepada Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Statistik ini menunjukkan betapa perlunya masyarakat Melayu khususnya, diberi kesedaran bahawa peranan sesebuah institusi keluarga amat penting dalam usaha menangani semua permasalahan gejala sosial dalam masyarakat.
Justeru itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 yang bertemakan “ Membudayakan Perencanaan dalam Keluarga Melayu Muslim” pada 9 Julai 2011 di  Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1, Putrajaya.
Peserta konvensyen akan mendapat pencerahan berkenaan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi. Ini termasuklah menyentuh tentang betapa pentingnya sesebuah keluarga Melayu Muslim itu memiliki dan memahami hala tuju berkeluarga yang sebenar serta bagaimana sebuah keluarga yang utuh itu dapat menyumbang kepada kekuatan sesebuah masyarakat dan seterusnya kekuatan negara itu sendiri. Peserta konvensyen akan didedahkan kepada isu-isu terkini dan sebenar serta kisah kejayaan sebuah keluarga melayu muslim. ISMA telah memilih barisan pembentang kertas kerja yang berpengalaman dan berkaliber di dalam bidang masing masing agar melalui Konvensyen ini dapat merumuskan kaedah atau metodologi yang terbaik dan sepakat untuk dijadikan panduan buat masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Layari laman web rasmi Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 www.konvensyenkeluarga.net untuk maklumat lanjut dan mendaftar sebagai peserta.

Sumber : www.wanitaisma.net

No comments:

Post a Comment