Sunday 26 June 2011

Jom Sertai Konvensyen Keluarga Melayu Muslim


Keluarga merupakan unit asas yang membentuk masyarakat dalam sesebuah negara. Seandainya keluarga itu pincang, masyarakat terbentuk juga akan terkena badai kepincangan tersebut. Sebaliknya jika sesebuah keluarga itu sempurna, binaan masyarakat yang akan lahir juga akan lebih teguh seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera. Masalah keruntuhan moral dan gejala sosial seperti mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain terutamanya dikalangan Melayu Muslim begitu ketara sejak kebelakangan ini.
Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda  masalah keruntuhan moral yang serius. Merujuk kepada Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Statistik ini menunjukkan betapa perlunya masyarakat Melayu khususnya, diberi kesedaran bahawa peranan sesebuah institusi keluarga amat penting dalam usaha menangani semua permasalahan gejala sosial dalam masyarakat.
Justeru itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 yang bertemakan “ Membudayakan Perencanaan dalam Keluarga Melayu Muslim” pada 9 Julai 2011 di  Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1, Putrajaya.
Peserta konvensyen akan mendapat pencerahan berkenaan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi. Ini termasuklah menyentuh tentang betapa pentingnya sesebuah keluarga Melayu Muslim itu memiliki dan memahami hala tuju berkeluarga yang sebenar serta bagaimana sebuah keluarga yang utuh itu dapat menyumbang kepada kekuatan sesebuah masyarakat dan seterusnya kekuatan negara itu sendiri. Peserta konvensyen akan didedahkan kepada isu-isu terkini dan sebenar serta kisah kejayaan sebuah keluarga melayu muslim. ISMA telah memilih barisan pembentang kertas kerja yang berpengalaman dan berkaliber di dalam bidang masing masing agar melalui Konvensyen ini dapat merumuskan kaedah atau metodologi yang terbaik dan sepakat untuk dijadikan panduan buat masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Layari laman web rasmi Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 www.konvensyenkeluarga.net untuk maklumat lanjut dan mendaftar sebagai peserta.

Sumber : www.wanitaisma.net

Kemeriahan Terserlah di Mahrajan NAZIM Kebangsaan 2011

Putrajaya, 4 Jun: Suasana  ceria menghiasi  dewan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam dengan pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) seluruh negara. Acara tahunan  Mahrajan NAZIM Kebangsaan disertai oleh wakil NAZIM setiap Zon (Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Menariknya tahun ini adalah acara Dikir Barat yang julung-julung kali dipertandingkan dan penyertaan serta persembahan acara ini amat membanggakan dari adik-adik NAZIM kita.  Ketangkasan pemain-pemain ‘percussion’ cilik dalam pertandingan Nasyid sememangnya memukau para hadirin yang menonton.

Rata-rata peserta Hafazan, Pertandingan Bercerita dan Pidato mempamerkan kepetahan mereka serta aksi-aksi yang tidak kurang hebatnya bagi merebut tempat yang dipertandingkan. Ibu-bapa, pengiring dan pelatih turut hadir memberi sokongan yang padu kepada peserta Mahrajan.

Majlis perasmian penutup Mahrajan Kebangsaan disempurnakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman. Dalam ucapan beliau, beliau menerangkan bahawa ISMA berperanan bukan sahaja untuk membina generasi dewasa, belia dan remaja sahaja, malahan generasi kanak-kanak (NAZIM). Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Biro Wanita atas usaha murni penganjuran Mahrajan NAZIM bagi mengasah bakat-bakat terpendam anak-anak.


“Program seumpama ini adalah platform yang sangat sesuai dan bertepatan untuk anak-anak menyalurkan bakat terpendam mereka secara islami. Persaingan yang sihat antara kumpulan NAZIM ini dapat membentuk keperibadian anak-anak selain dapat menguatkan ukhwah sesama mereka”, ujar Rizwana Afeefa Binti Md.Razip, apabila ditanya pendapatnya mengenai penganjuran Mahrajan NAZIM.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan bagi mereka yang kurang bernasib baik boleh berusaha lebih pada tahun hadapan. Berikat dilampirkan keputusan acara pada Mahrajan NAZIM kebangsaan 2011.






Sumber : www.wanitaisma.net

Pelancaran Nama Baru NAZIM

8 April, Kuala Lumpur – Sempena Mesyuarat Agung Tahunan ISMA ke-12 baru-baru ini, telah dilancarkan nama baru bagi NAZIM, sebuah kelab di bawah ISMA yang dianggotai oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan. NAZIM ditubuhkan bagi melahirkan generasi pelapis dalam mendokong dakwah Islam melalui pembinaan syahsiah anak-anak yang seimbang.



Dalam memperkenalkan NAZIM kepada masyarakat dengan lebih mudah dan mesra, ISMA mengambil langkah proaktif dengan menukar NAZIM yang dahulunya merupakan singkatan kepada Nadi Asybal wa Zahrawat kepada Nadi al-Azim.
Sehubungan dengan itu,  NAZIM yang dahulunya dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai Kelab Simba dan Jasmin ISMA Malaysia kini adalah Kelab Anak Hebat Malaysia.

Semoga dengan perubahan ini, NAZIM akan dikenali dengan lebih meluas lagi seterusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat seluruhnya.

Sumber : www.wanitaisma.net

Sunday 17 April 2011

Kelab Pengusaha Tadika ISMA (KIPTI) terajui silibus NAZIM

Bangi, 19 Mac - Seramai 12 pengusaha tadika dari seluruh negara telah hadir dalam sesi pertemuan pengusaha tadika ISMA yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh, di sini, bagi mengikat janji setia melahirkan generasi harapan baharu kepada masyarakat. Di antara objektif penting pertemuan tersebut adalah untuk mewujudkan 'niche' atau kelainan bagi tadika-tadika mereka dan mengintegrasikan modul NAZIM dalam pembelajaran harian di tadika.
Hasil dari pertemuan ini, peserta telah sebulat suara bersetuju untuk:
1- menjadikan tadika dan pusat pengajian masing-masing sebagai jambatan dan penghubung antara ISMA dengan masyarakat
2- membentuk networking dan kerjasama antara rangkaian tadika ahli ISMA dalam usaha menyokong dan memenuhi keperluan objektif berfasa ISMA
3- menubuhkan Kelab Pengusaha Tadika Isma (KIPTI) sebagai tanda kerjasama pintar antara tadika dan teah melantik Puan Zaharah Johari sebagai Pengerusi KIPTI dan Puan Rohana Yahya Sebagai Timbalan Pengerusi.
4- memasukkan elemen berani dan ciri-ciri kepimpinan dalam kurikulum tadika masing-masing sekiranya elemen tersebut masih tiada
5- bekerjasama dengan NAZIM dan membantu NAZIM dalam melakasanakan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak ahli dan masyarakat
4- mengakui dan menghormati konsep setiap tadika tanpa ada usaha untuk campurtangan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan setiap tadika
Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif pihak wanita ISMA dalam Membina Generasi Harapan melalui medium sedia ada di dalam ISMA.


Mastura Mohd
Media Wanita ISMA

Sumber : www.wanitaisma.net